...::: rahsia di kamar hati :::...
header


 auuummm chak!
Tuesday, January 23, 2007

Dalam kegelapan itu ku terbaring. Sekadar lena menghilangkan keletihan. Berselimut tebal mengawal kesejukan. Terketar-ketar badanku kerana demam yang berlarutan. Tiba-tiba ku terdengar pintu bilik terbuka, kuintai dari celahan selimut menutupi seluruh tubuhku. Tiada bayang manusia kelihatan. Hanya bunyi tapak kaki perlahan-lahan mendekatiku. Ku matikan diri, terus memejam mata. Pelbagai persoalan bermain dibenakku. Debaran hati sedikit menggusarkan. Seimbas lalu difikiranku teringat kisah-kisah yang pernah dibicara teman, kisah-kisah yang pernah kubaca dulu. Seram sejuk tubuhku mengenangnya.

" matikan tubuh, buat tak sedar aje kalau ade penceroboh masuk kat umah. Nak lawan kite tak berdaya, diam aje la " terngiang-ngiang di telingaku kata-kata seorg teman.

Dalam kaku itu tiba-tiba terasa seakan sesuatu menyentuh di kakiku. Seakan sentuhan jari jemari memegangku. Argh!! Patutkah aku berdiam saja?? Tak mungkin! Terusku selak lapisan selimut tebal yg menutup keseluruhan tubuhku. Disaat itu ia datang menerpa kearahku..

Meoww..Meoww…

Lerr! Si Tompok rupanya. Hehe. Kucing kesayangan di rumah Kak Pah. Manja sungguh si Tompok, pantang saja ternampak sesiapa terbaring, pasti datang mencari ruang untuk lena bersama. Aku senang diperlakukan begitu, sayangku pada kucing cukup kuat. Kubiarkan saja si Tompok mencari ruang untuk sama lena disisi ku. Kucapai handphone nokia 7370 milikku di kepala katil. Melihat waktu semasa. Owh! Awal lagi rupanya. Baru saja jam 6.45 malam. Namun begitu gelap tetap memenuhi ruang langit Morocco. Maklum sajalah musim sejuk begini, malamnya pasti awal.

Aduh!! sakit jemari kakiku tersadung anak tangga. Tersungkur aku disitu. Namun ketakutan terus merajai. Aku gagahkan diri untuk bangkit. Kuterus jua berlari menaiki anak tangga. Semakin dekat bayang itu mengikutku. Sekali ku berpaling ke belakang. Kecut perutku melihat bayang penuh misteri itu. Wajahnya penuh dengan rekahan-rekahan kekeringan, mengalir titisan darah dari pipi. Di tangan, terpegang sebilah pisau besar. Seakan ingin menikam aku dari belakang. Kuterus jua berlari mendaki anak tangga. Sekuat hatiku. Ku gagahkan diri biarpun aku sedikit lemah berikutan demam yang semakin kuat. Sampai ditingkat atas sekali lagi aku tersadung karpet tebal di ruang tengah rumah. Terbaringku tiada kudrat mampu bangun kembali. Ku berpaling ke belakang. Jelas di mataku titisan darah pada pisau yang dipegang bayang ku takuti itu. Debar jantungku tidak terkawal lagi. Ku pejamkan mata sekuat hati. Mengucap, memanggil nama Ilahi..

Tiba-tiba pipi ku dicium.. muah! " Errm.. Panasnya badan anis. Mkn ubat Kak Pah ni." Astaghfirullah.. Aku bermimpi rupanya. Dah balik pun Kak pah. Melihat jam di handphoneku. Jam sudah mendekati angka 7.30 malam. Terus ku bangun membasuh muka, makan ubat dan turun ke tingkat bawah, sediakan dinner utk Kak Pah sekeluarga, tetamunya dan beberapa org pekerja kedutaan Malaysia di Morocco. Masakan yang ku masak bersama temanku sejak pagi hingga ke petang. Lebih dari 5 hidangan.

Malam itu ku hanya mampu berdiam saja. Tersenyum pada yang memandang. Sepatah ditanya sepatah kujawab. Melayan Kak Maizatul kawan Kak Pah yang menginap sementara di rumah Kak Pah sebelum kembali ke tempat kerjanya. Kepalaku pening tidak terkata. Untuk berdiri lama pun ku tak mampu. Musim sejuk kali ni aku benar-benar diuji. Usai makan malam aku cukup lemah meneruskan kerja. Selepas beberapa minit bersembang aku minta diri untuk masuk tidur. Khadija, pembantu rumah Kak Pah terus mengemas meja makan, kasihan..pasti dia juga penat sepertiku. Namun apalah dayaku tika itu, untuk membantu aku juga keletihan. Takpe lah, dia dah biasa buat semua ni.

Malam itu sekali lagi aku didatangi mimpi-mimpi ngeri. Boleh dikatakan setiap satu jam aku pasti terjaga. Sukar sungguhku mendapatkan tidur yang lena. Sehingga jam 6 pagi aku terus terjaga. Badanku masih panas. Demam tidak berkurang walau sedikit. Batuk seperti biasa. Dan kebiasaan juga tiap-tiap pagi aku pasti batuk diiringi dengan tompokan darah. Mungkin kerana aku sakit dalam tempoh yang terlalu lama, sehingga terjadi begitu. Hmm..Ya Allah..kuatkan lah kudrat hamba-Mu ini meneruskan hari-hari mendatang..

Usai sarapan pagi, aku dan temanku, Ainaa meminta untuk pulang ke rumah. Awalnya, hajat di hati ingin ke kuliah, melihat status sebenar keputusan peperiksaan kami tapi khabar dari temanku yang telah ke kuliah sejak awal pagi mengatakan tiada pembaharuan pada keputusan yang di tampal pada papan kenyataan. Kubatalkan saja hajat dihati. Terus kembali ke rumah. Sesampai di rumah, katil kutuju dahulu. Kepala ku semakin berat dengan kepeningan. Terus ku lenakan diri. Jam 12 ku terjaga. Mendengar perbualan teman-teman ingin ke Balai Polis memperbaharui Kad Pengenalan, kucelikkan mata. Petang sikit la ku pergi, keluh ku dalam hati. Tanpa sedar aku terus terlena sehingga jam 2.30 petang. Aduh! terlewat ku dari jangkaan sebenar. Melihat disisi ku Ainaa juga sedang lena. Terus ku ubah fikiran. ' hari lain aje la ke Balai Polis ' aku kembali memejamkan mata, cuba menghilangkan denyutan dikepala. Sehingga ke malam ini denyutan masih terasa.

*****************

Ehe..cerita ku sepnjang dua hari ini. Setelah sekian lama ku tak menghapdate blogku..hikss.. mekasih kakak kucing masak bubur tadi..hilang kebuluran ku sepanjang hari ini. Itu saje.. kepala ku kembali pening.. baring saja di katil. Itu saja yang mampu aku lakukan di saat kesakitan begini.. mekasih mama atas segala nasihat. Ku tahu kerisauan mama di kejauhan sana. Jgn risau ye.. sha akan jaga diri baik-baik. Caiyok!


by : ..adikbebecute.. | Honestly On | 9:11 AM.

(5) comments



Sunday, January 07, 2007

>> Langkah ku susun.. <<

Sederap tapak melangkah
Menerusi hari-hari mendatang
Penuh yakin agar tidak goyah
Bertautkan azam dan tekad
Bertunjangkan semangat dan kekuatan
Agar esok yang dilalui
Lebih indah dari semalam yg dilepasi

Kerana kita pengemis kasih Ilahi
Hidup penuh percaturan
Tanpa-Nya pastikan jatuh.
Dengan-Nya mampu membuatkan
Kepahitan itu menjadi manis
Derita itu menjadi madu.

Tunduklah, dambalah kasih-Nya
Carilah sepenuh redha-Nya
Mendoakan langkah yg dipercaturan ini
Agar setapak perubahan esok
Menjanjikan limpahan rahmat
Menongkat tulang belakang
Harapan yang di impikan..

Selamat Datang Tahun Baru 2007

by : ..adikbebecute.. | Honestly On | 11:29 PM.

(0) comments



 

[ ...::: rahsia di kamar hati :::... ]


© Hak Cipta Terpelihara